
Part of Series
Ali bin Abi Talib dilahirkan pada tahun ke-9 sebelum Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasul. Usianya 31 lebih muda daripada Nabi Muhammad s.a.w. lbunya Fatimah binti Asad bin Hasyim binti Abdul Manaf daripada Bani Hasyim. Ayahnya Abu Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim. Nama asalnya Haidarah, Rasulullah s.a.w. memanggilnya Ali. Selain itu pernah juga Rasulullah s.a.w. memanggilnya Abu Turab. Ali bin Abi Talib dididik dan dibesarkan dalam rumah tangga Rasulullah s.a.w.. Beliau kanak-kanak pertama memeluk Islam ketika berumur 9 tahun. Beliau terkenal sebagai orang yang alim dan bijaksana, penghafal al-Quran, seorang sasterawan dan ahli pidato, seorang pahlawan perang dan negarawan. Dia seorang yang berilmu dan cintakan ilmu. Ali juga adalah pelopor ilmu tauhid, ilmu mantiq, fiqih, ilmu nahu dengan penulisan bahasa Arab. Terdapat empat golongan yang mempunyai kaitan dengan Ali iaitu Ahlus Sunnah, Syiah, Al-khawarij dan Bani Umaiyah. Syiah begitu menyanjung Ali bin Abi Talib. Al-Khawarij pula adalah mereka yang keluar dari kelompok Ali. Sehubungan itu Khalifah Ali bin Abi Talib pernah berkata, "Ada segolongan orang yang demi cintanya kepada aku mereka bersedia masuk neraka. Tetapi ada segolongan lain yang demi kebenciannya kepada aku sampai mereka bersedia masuk neraka." Novel ini mencantumkan perca-perca kehidupan Saidina Ali bin Abi Talib sejak mula sehingga akhirnya.
Author

Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan. Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.