
Tan Sri Johan bin Jaaffar (nama pena Jaafar Khan, J.J., Lanang Sejagat) adalah bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menggantikan Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin. Beliau juga merupakan pengerusi Media Prima Berhad dan juga pengarah Kumpulan New Straits Times Berhad. Beliau seorang penulis puisi dan drama di Malaysia yang terkenal. Beliau banyak kali menjadi hos temubual bersama pemimpin negara di televisyen. Mulanya Johan Jaaffar bersekolah di Sekolah Rendah Perserian, Semerah (1960-1965); sekolah menengah aliran Inggeris di Semerah (1966-1970) ;Sekolah Tinggi Muar (1972-1973); Universiti Malaya (1974-1977) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera. Sejak 1960-an beliau terlibat dengan kegiatan sandiwara di Muar seperti menarik tali tirai dan mencari bahan-bahan untuk latar pentas. Semasa di sekolah menengah, beliau mula berlakon, menulis skrip dan mengarah drama untuk acara persembahan sekolah. Di universiti beliau aktif dalam Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA). Bertugas sebagai Pegawai Penyelidik (Pegawai Perancang Bahasa) di DBP; Ketua Bahagian Majalah (1988-1990); Ketua Bahagian Penerbitan Am DBP. Pada September 1991 belajar peringkat sarjana di Universiti Nottingham, England dalam bidang Critical Theory. Oktober 1992 berhenti di DBP dan mula bekerja di Kumpulan Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang Kumpulan; Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu. Beliau hidup dalam 'dua alam' iaitu alam sastera/budaya dan alam pengurusan moden / korporat. Beliau seorang “sasterawan”, merangkap pengurus korporat. Beliau menjadi Ketua Pengarang Utusan Melayu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menanjak menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia menggantikan Ghafar Baba. Apabila Anwar dipecat beliau turut terpelanting . Beliau juga Ahli Majlis Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Council); Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Multimedia (Multimedia Development Council); ahli Lembaga Pengarah BERNAMA serta pengarah di beberapa buah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Semasa bertugas di DBP, Johan menghasilkan cerpen “Potret Seorang Anu Sebagai Anu” (Dewan Sastera, Februari 1983). Novelet/drama/cerpen beliau berjudul Pemain (1987) - separuh autobiografi sasterawan/pentadbir bernama Johan. Selepas 1993, Johan tidaklah seproduktif para penulis sezamannya. Beliau ditugaskan memimpin Syarikat Utusan Melayu sebagai Ketua Pengarang dan tumpuannya hanyalah pada penulisan berita dan rencana. Novel terakhir beliau ialah Laguku Untukmu (1979). Cerpen yang terakhir ditulisnya lebih 15 tahun. Drama terbarunya, “Asiah Samiah” (1999). Ketika bersama Badan Budaya DBP, beliau mengarahkan drama “Mayat” (karya Hatta Azad Khan); “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” (adaptasi sendiri daripada novel Anwar Ridhwan); “Salina” (daripada novel A. Samad Said); “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (daripada cerpen A. Samad Ismail). Dalam dunia kewartawanan jelas kelihatan dua Johan yang berbeza; kolumnis “Selayang Pandang” (dengan nama Lanang Sejagat dalam Mingguan Malaysia. Kolumnis “Nota Kaki” (Utusan Malaysia) lebih santai. Sementara ruang “Cambuk Wak Cantuk” (Mingguan Malaysia), atau tulisan mudahnya mengenai filem dalam majalah Hai keluaran Utusan Melayu lebih ringan. Johan terlibat dalam menggerakkan kegiatan berpuisi (Malam Puisi Utusan) serta mementaskan beberapa buah drama tahunan (antaranya "Lantai T. Pinkie" karya A. Samad Said dan "Anugerah" adaptasi daripada novel Zaharah Nawawi). Media arus perdana - Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman kembali menjadi tunggak kegiatan dan wadah budaya dan sastera. Majalah Pemikir, Mangga, Kawan, Cerdas Pintar, Saji, Rias dan Hai dan majalah sastera 'Karya' turut diterbitkan. Majalah Karya yang mahu diangkat setanding dengan Dewan Sastera, terpaksa ditutup ekoran kegawatan ekonomi 1998. Majalah Mastika, Wanita dan Al-Islam turut diberi sentuhan. Pada November 1992 beliau adalah 'orang luar' yang dibawa masuk se