
Part of Series
"Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat." Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Tirmizi. Inilah kisah Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin dengan cerita yang berbeza. Mereka adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang dijanjikan syurga. Abu Bakar as Siddiq, lelaki yang tidak pernah ragu membenarkan semua kata-kata Nabi. Diangkat menjadi khalifah selepas wafatnya junjungan agung. Dikenali sebagai peneguh kerajaan Islam dan berjasa sebagai penghapus nabi-nabi palsu. Umar al Khattab, lelaki yang awalnya keras ke atas Islam, akhirnya menjadi lelaki pendinding agama yang benar. Beliau harum sebagai pengembang empayar Islam. Uthman Affan, lelaki yang mengahwini dua puteri Nabi. Dikenali sebagai dermawan dan dikenang sebagai pengumpul al-Quran. Ali bin Abi Talib, lelaki yang punyai pertalian darah dengan Nabi. Menjadi kanak-kanak pertama memeluk Islam. Dihormati kerana tinggi ilmunya dan dikenang sebagai pahlawan Islam yang tidak pernah gentar kepada musuh. Mereka mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar. Mereka adalah, khalifah-khalifah yang benar.
Author

Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan. Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005. Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.