


Books in series

#1
Kitab Tamadun Melayu
2015
Wahai Melayu, ini ialah sebuah riwayat yang mensyairkan keagungan yang tidak terganti walaupun seribu zaman. Dari Kedah Tua dan besi-besinya yang menjadi lagu perang, Srivijaya yang menakluk seluruh kepulauan menjadi satu bangsa dan Melaka yang kayanya tidak terbayang dek akal manusia. Hal ini ialah kitab yang merakamkan sebuah keagungan yang menyembah kaki Melayu. Adakah anda sudah lupa tentang bagaimana bangsa kita dipuja oleh penghuni dunia? Dari tempat bersemayam Izanagi, perlahan-lahan berita tentang kita merayap ke Sungai Kuning yang menyimpan seribu legenda raja agung dari kayangan dan juga ketika kita pernah dijulang di bumi Mahabharata yang menjadi latar sebuah cerita para dewa. Tetap harum di tanah Arab tempat lahirnya Nabi akhir zaman dan kisah kita pernah terpasak di tanah para nabi, tempat kononnya Isa disalib. Khabar mengenai kita tetap bersemayam di hujung Eropah, bumi dua anak kembar yang dijaga serigala lalu terbitnya sebuah empayar. Ketika 88 bahasa ditutur di pelabuhan teragung, bahasamu tetap menjadi raja. Kata seorang pendeta Belanda, “Kau bukan seorang intelektual, jika bahasa ini tidak sebati dengan lidahmu.” Wahai bangsa perang, wahai bangsa pendeta, wahai bangsa diplomat agung, bangkitlah mengembalikan keagungan!

#2
Kitab Tamadun Islam
2019
Kelahiran Nabi akhir zaman, iaitu Nabi Muhammad SAW merupakan suatu bukti bahawa telah lahirnya sebuah peradaban yang agung. Ketika kebanyakan daripada tamadun itu terbina dan berdiri di tepian laut serta lembangan sungai, kuasa Tuhan mentakdirkan tamadun Islam berdiri di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Baginda tekun mengajar umatnya erti sebuah kehidupan melalui cebisan-cebisan wahyu daripada Tuhan sehingga ia lengkap menjadi sebuah kitab agung, yakni al-Quran.
Tamadun yang pada asalnya bermula dari tempat tidak punya apa, lalu berjaya bangkit menggegar dua kuasa dunia pada bahagian kiri dan kanannya sehingga kedua-dua empayar gergasi itu jatuh rebah dalam puing kehancuran. Siri peperangan yang tertulis di hujung tinta sentiasa menceritakan tentang perwira dan para syuhadanya yang gugur menggempur ketumbukan Parsi yang angkuh dan Rom yang mendada.
Sudah tentu riwayat Umaiyah yang mengaum dan Abbasiyah sebuah permata sentiasa dijulang sehingga Uthmaniyah sang sufi sentiasa bersemayam di hujung lena. Malangnya, semua itu telah lenyap daripada helaian jiwa yang menandakan bahawa zaman kegelapan itu sudah pun tiba. Ada juga riwayat seperti tikaman dari belakang, perebutan takhta yang menumpahkan darah, bahkan juga keagungan intelektual umat purba yang tidak tersingkap. Semoga keagungan itu kembali mekar dalam jiwa seluruh warga satu syahadah untuk mengembalikan kegemilangan yang dirindukan.

#3
Kitab Tamadun Rom
2021
Kitab Tamadun Rom ditulis untuk pembaca umum yang ingin melihat daripada gambaran yang lebih besar berkenaan sebuah tamadun yang paling lama bertahan dalam sejarah. Ia mengandungi sejarah naratif Rom yang merangkumi lebih 1000 tahun yang ditulis secara ringkas tetapi padat. Memahami sejarah Rom sama seperti kita memahami sejarah tamadun barat dan buku ini menyediakan asas terbaik untuk memulakannya.
Dalam tiga bahagian utama yang kemudian dipecahkan kepada sub-sub judul, Kitab Tamadun Rom membawa para pembaca melalui kisah sebuah empayar yang paling berkuasa dalam sejarah manusia. Dari penubuhan Rom pada 753 SM dan tempoh awal monarki, kemudian kebangkitan republik hingga kemuncak keagungan empayar dan kemerosotan hingga keruntuhan empayar pada 476 M.
Individu-individu penting muncul bagi mencorakkan perjalanan tamadun Rom. Dari sebuah kota yang diasaskan oleh Romulus dan Remus di tepi Sungai Tiber, kemudian membawa kepada peperangan antara Scipio dengan Hannibal. Persaingan sengit diteruskan antara Pompey dengan Julius Caesar hingga membawa kenaikan Maharaja Augustus. Kemudian, empayar diserahkan kepada maharaja-maharaja hingga perpecahannya semasa era Konstantinopel.
Sejak dari awal lagi Rom merupakan sintesis pelbagai kebudayaan daripada puak-puak yang berbeza di Itali. Tempoh awal monarki (753–510 SM) menyaksikan gabungan puak Etruscan, Oscan, Sabine dan lain-lain puak yang tinggal di Itali. Sedikit demi sedikit, Rom pada zaman republik (510–27 SM) meluaskan imperium atau autoriti mereka.
Pada 270 SM, Rom berjaya menguasai seluruh Semenanjung Itali dan pada 146 SM, Rom muncul sebagai sebuah kuasa terkuat di Mediterranean. Peluasan diteruskan seterusnya mendirikan asas kepada sebuah empayar, iaitu pada 116 M telah merangkumi lebih 16.8 juta km persegi.

#4
Kitab Tamadun Mongol
2021
Bangsa Mongol adalah kaum nomad yang membina kuasanya dengan cara penaklukan yang kejam dan menakutkan, tetapi dalam hal ehwal pemerintahan, mereka boleh dikatakan sangat profesional, berfikiran terbuka dan sangat inovatif. Mongol menjadi jurutera penting yang memanfaatkan setiap teknologi yang pernah dicipta oleh manusia.
Bagi menjelaskan perihal faktor penaklukan dan bagaimana berdirinya peradaban yang berasal dari padang rumput yang luas, banyak perkara yang perlu difahami terlebih dahulu. Ia merangkumi pelbagai faktor sama ada dalam konteks rasional dari segi ekonomi hinggalah dalam bentuk kepercayaan rohaniah seperti mandat daripada tuhan.
Oleh itu, Kitab Tamadun Mongol akan membawa pembaca menelusuri kembali sejarah bangsa pemanah berkuda ini bermula daripada kejatuhan para pendahulu mereka, kelahiran dan kebangkitan konfederasi Mongol yang bersatu, perpecahan dan perang saudara yang melahirkan beberapa negeri-negeri Kekhanan kecil hinggalah berakhirnya era Khagan-khagan Mongol yang ditelan arus zaman.

#5
Kitab Tamadun Cina
2022
Apakah agama utama orang Cina?
Kenapa ejaan nama orang Cina Malaysia dan orang China berbeza?
Kenapa wujud perbezaan tulisan Cina tradisional dan ringkas?
Apakah sebenarnya makhluk yang dikenali sebagai naga?
Apakah hubungan antara tamadun Cina, Korea dan Jepun?
Jawapan kepada persoalan-persoalan di atas adalah antara aspek tamadun dan budaya Cina yang akan diterangkan dalam buku ini. Ia ditulis dalam bahasa Melayu yang mudah dibaca dan senang difaham. Buku ini diharapkan dapat memupuk persefahaman antara budaya yang menjadi warisan bersama negara.
Tamadun Cina merupakan antara tamadun tertua dan satu-satunya tamadun daripada kalangan empat tamadun purba yang tidak terputus. Dalam sejarah perkembangan tamadun Cina dan pengalaman pewarisnya dalam memelihara khazanah leluhur mereka, terdapat pengajaran dan ilham yang berguna kepada anak bangsa yang ingin membina keyakinan diri terhadap tamadun sendiri.

#6
Kitab Tamadun Yahudi
2023
“Kita sangat terhutang budi kepada orang Yahudi untuk pengetahuan terawal kita tentang falsafah, botani, perubatan, astronomi, kosmografi, (sifat alam semesta), bahasa suci, dan hampir semua cabang kajian al-Kitab.” —Antonio Rubiero Santos, Hakim Portugis abad ke-19
Orang Yahudi hari ini adalah antara bangsa yang menguasai dunia. Tetapi sudah tentu, apa yang dicapai oleh bangsa Yahudi ini merupakan hasil perjalanan lebih 3,000 tahun tamadun mereka.
Buku ini meneroka sejarah, kebudayaan, malahan agama Yahudi itu sendiri daripada menjadi bangsa pilihan TUHAN untuk diturunkan kepada para nabi, kepada bangsa yang sering ditohmah pada zaman moden dengan 1001 kisah konspirasinya.

#7
Kitab Tamadun Jepun
2022
虎穴に入らずんば虎子を得ず。 (Koketsu ni irazunba koji wo ezu/Jika anda tidak memasuki gua harimau, anda tidak akan mendapat anaknya)
Sebut sahaja Jepun, kita membayangkan aspek kemodenan bandar-bandarnya. Sebut sahaja Jepun, kita membayangkan anime yang mengusik jiwa sesiapa daripada siri Gundam hinggalah Naruto dan Bleach. Tetapi kita langsung tidak berminat dengan sejarah di sebalik negara yang dikenali dengan gelaran negara Matahari Terbit itu.
Kitab Tamadun Jepun menjemput anda menelusuri susur sejarah negara itu yang membentuk Jepun hari ini. Pelbagai rahsia tersembunyi yang tidak diketahui disingkap dan dipaparkan buat tatapan para pembaca yang dahagakan maklumat tentang dunia Timur Jauh itu. Dari situ, barulah kita memahami sebab dan pandangan alam masyarakat Jepun terhadap dunia hari ini.
世よの人ひとは我われを何なにとも言ゆわば言いえ。我わがなす事ことは我われのみぞ知しる。-坂本さかもと竜りょう馬 (Orang boleh saja berkata tentangku tetapi aku tahu apa yang aku lakukan) – Sakamoto Ryoma

#8
Kitab Tamadun Korea
2023
"Jika Korea adalah seseorang, ia akan didiagnosis sebagai berkelakuan aneh, dengan kedua-dua inferioriti dan superiority complex.” Euny Hong, penulis buku The Birth of Korean Cool: How One Nation Is Conquering the World Through Pop Culture.
Hari ini, gelombang budaya Korea, terutama merangkumi hiburan mereka, tak kira muzik dan wayang gambar, semuanya sedang menakluk dunia.
Tetapi sejarahnya bermula ketika ribuan tahun yang lalu, ketika raja Korea bernama Dangun yang berasal dari kayangan, ke era tiga kerajaan Korea saling berperang demi menguasai seluruh semenanjung, sehinggalah kepada berdirinya Joseon yang sangat mengagumkan itu.
Authors

Amir Asyraf Alwi
Author · 1 books
Lelaki melayu berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu ini merupakan penulis "freelance" di The Patriots. Jejaka lulusan Akademi Seni Terengganu ini sangat meminati sejarah negara Turki dan menjadikan bermain gitar sebagai hobi beliau.

Ayman Rashdan Wong
Author · 7 books
Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Waqqas Zulfiquer
Author · 1 books
A Perakian Malay-descent man whose family originated from Ipoh, Perak. He currently lives in the heart of the peninsular, namely Kuala Lumpur. He is very passionate when it comes to the absolute truth of the past without the dominance of romanticizing among the facts and the backgrounds of the truth itself. Thus, when it comes to history, he admires the history of the Malay, Japanese and English civilization. As an avid reader, he is as well a fan of fictional works from both, English and Malay authors - which the genres vary depending on his interest of the time. He lives on with the principle of : "Read, Write & Sleep"