Margins
Baharuddin Zainal profile picture
Baharuddin Zainal
Author · 3 books

DATUK Baharuddin Zainal atau turut dikenali sebagai Baha Zain anak kelahiran Hutan Melintang, Perak pada 22 Mei 1939, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya (UM) pada 1963 dan Sarjana Sastera di Universiti Indonesia Jakarta (1972). Baha Zain mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1963 sehingga 1984 dengan pernah dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Pengarang Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Dewan Budaya, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera serta bersara sebagai Timbalan Ketua Pengarah, sebelum terjun ke dunia penerbitan melalui Pustaka Cipta Sdn Bhd. Beliau yang lebih dikenali sebagai penyair dan menghasilkan beberapa kumpulan puisi, iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from A Journey), selain Postponing Truth and Other Poems = Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain. Dalam kesusasteraan tradisional, Baha Zain menyusun semula Hikayat Bakhtiar, Hikayat Umar Umaiyah dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Baha Zain tidak hanya bertingkah dalam penulisan, bahkan beliau turut terbabit dalam aktivisme, iaitu sebagai Setiausaha Satu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) 1967-1969; Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) 1982-1984; Ahli Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pendidikan 1986-1994; Naib Presiden, Persatuan Penterjemah Malaysia 1985-1991; Presiden, Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional 1989-1994; Ahli Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) 1984-1987/2001-2003; Ahli Lembaga Pengelola DBP 1989-1992/2002-2005/2005-2008; Ahli Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) 1993-2009 dan Presiden PENA 2008-2010. Namanya terpahat sebagai penyair serantau sehingga dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) pada 1980; Anugerah Penyair GAPENA (1988); Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (2004); Anugerah Budayawan GAPENA (2008) dan Anugerah Tokoh Pena (2011).

Series

Books

548 Market St PMB 65688, San Francisco California 94104-5401 USA
© 2025 Paratext Inc. All rights reserved