Margins
Kru Paranormal book cover 1
Kru Paranormal book cover 2
Kru Paranormal book cover 3
Kru Paranormal
Series · 12
books · 2022-2023

Books in series

Kru Paranormal book cover
#1

Kru Paranormal

Baphomet

2022

“Apa istilah cerita mistik yang disebarkan melalui sosial media ni? Lupa aku,” tanya Huda. “Creepypasta! ” jawab Zamir. “Di Malaysia pun ada sekarang.” “Kisah creepypasta Malaysia? Slender Man versi Malaysia? Hantu galah ke?” tanya Huda separuh berseloroh. “Bukan,” jawab Zamir. “Hantu kepala kambing.” Imtiaz dan Huda mengekek ketawa. Imtiaz, Zamir dan Huda, tiga sahabat yang mengendalikan saluran YouTube mereka sendiri bernama Kru Paranormal, yang memfokuskan pada kisah-kisah misteri dan mistik. Tanpa disangka, perbualan mereka bertiga tentang hantu kepala kambing menjadi perbualan terakhir mereka bersama apabila Zamir terkorban dalam satu letupan feri. Imtiaz yang berada di tempat kejadian sempat merakam seorang pemuda memanjat bumbung feri itu. Setelah meneliti rakaman itu, didapatinya ada bayangan manusia berkepala kambing di sisi pemuda itu sebelum letupan berlaku. Mayat Zamir ditemui, namun Huda sering menerima panggilan telefon daripada Zamir yang mengatakan dia tersesat dan tidak tahu di mana dia berada. Apakah yang sebenarnya berlaku? Sementara itu, Inspektor Rahil tidak menyangka kes letupan feri ini membuatkannya terpaksa menghadapi semula kegagalan masa lampau. 17 tahun lalu, dia telah gagal menyelamatkan anak Encik Halim, dan kini, dia perlu berhadapan semula dengan lelaki itu untuk membawa berita malang seorang lagi anaknya, Zamir. Maruahnya sebagai pegawai polis perlu ditebus semula. Bersama-sama Koperal Darina, penyiasatan mereka membongkar sesuatu yang tak masuk dek akal, dan ada suatu kuasa yang menakutkan sedang mencaturi banyak nyawa tanpa sedar.
Kru Paranormal book cover
#2

Kru Paranormal

Hantu Misi

2022

“Mangsa bernama Farina. Berusia enam belas tahun. Masih bersekolah. Ibu dan ayahnya meninggalkan dia bersendirian di rumah pada jam dua petang tadi dan kembali ke rumah dalam jam lapan malam,” lapor Koperal Darina. Inspektor Rahil menghampiri mayat gadis itu dan meneliti keadaannya. “Kesan kelar di leher, dan tidak ada banyak darah menitis di lantai. Sama dengan kes hantu misi?” “Ya, tuan,” jawab Koperal Darina. “Jadi, kita ada kes pembunuh bersiri,” kata Inspektor Rahil sambil mengenakan cermin mata hitamnya. \ \ \* Bandar raya Johor Bahru dikejutkan dengan beberapa kes pembunuhan gadis-gadis sunti. Kecoh di media sosial kononnya ia angkara hantu misi apabila ada saksi yang mendakwa melihat kereta berwarna putih yang dipandu seorang wanita berpakaian jururawat di tempat kejadian. Kononnya hantu misi ini adalah seorang wanita yang wajahnya menjadi buruk kerana melanggar pantang ilmu hitam yang dipelajarinya untuk menjadi lebih cantik. Untuk memulihkan wajahnya, dia perlu membunuh dan meminum darah sembilan anak dara sunti. Kisah hantu misi yang popular di Internet menarik Imtiaz untuk menjadikannya sebagai bahan dalam saluran YouTube Kru Paranormal. Dia memulakan penyiasatannya sendiri, dan ia membawa kepada pertemuannya dengan seorang gadis, yang tanpa pengetahuannya, dihantui oleh lembaga manusia berkepala kambing. Dapatkah Inspektor Rahil dan Koperal Darina, dengan bantuan Imtiaz menghentikan kes pembunuhan bersiri ini dan mencari dalangnya yang bertanggungjawab?
Kru Paranormal book cover
#3

Kru Paranormal

Imaginary Friend

2022

“Mak Uda kenal tak dengan budak lelaki bernama Ajin?” tanya Khairil. “Dulu, masa kamu kecil dan selalu datang ke mari, kamu selalu bercerita tentang kawan kamu bernama Ajin,” beritahu Mak Uda Siah. “Pada mulanya kami ingat memang betullah kamu ada kawan bernama Ajin. Tapi lepas tu baru kami sedar, Ajin ni rupa-rupanya kawan khayalan kamu saja,” sampuk Pak Uda Hamdan. “Kami selalu nampak kamu bercakap seorang diri dan membahasakan orang yang kamu berlawan cakap tu sebagai Ajin. Tapi bila kamu dah semakin besar, kamu pun berhenti bercakap seorang diri,” ujar Mak Uda Siah. Khairil berasa pelik kerana dia juga terasa seperti pernah bertemu dengan Ajin sebelum ini. Benarkah Ajin ini hanyalah rakan khayalannya? Setelah sepuluh tahun merantau ke Australia, Khairil pulang ke kampung halamannya kerana ibunya, Mak Hajah Munah sakit. Sewaktu menjaga ibunya, Khairil sering mengalami kejadian aneh. Malah, pak ciknya memberitahu ibunya sering hilang dari rumah, tetapi muncul semula beberapa hari kemudian, sedangkan ibunya sedang sakit dan tidak mampu bergerak. Terdengar juga cerita-cerita jahat yang menuduh ibunya mengamalkan ilmu hitam dan dia tidak boleh mati selagi ilmu itu tidak diturunkan kepada pewaris seterusnya. Khairil juga sering bertemu dengan seorang budak lelaki bernama Ajin di kawasan rumahnya dan Ajin mendesak Khairil agar mencabut nyawa ibunya. Khairul menjadi bingung, dan ada masanya dia tidak dapat membezakan antara realiti dan khayalan. Siapakah Ajin? Apa kaitan Ajin dengan perlakuan pelik ibu Khairil? Dan benarkah Mak Hajah Munah mengamalkan ilmu hitam? Dalam kes ini, Darina menjumpai sesuatu yang memeranjatkan!
Kru Paranormal book cover
#4

Kru Paranormal

Shadow People

2022

“Saya selalu nampak makhluk hitam menyerupai bayang-bayang. Makhluk tu berjari tajam macam pisau dan cuba menikam saya, bang,” cerita Ajin. “Ini makhluk bayang-bayang yang sama yang kamu kata bawa lari Tam?” tanya Ehsan. “Ya….” Ajin mengangguk. “Makhluk tu yang muncul dalam mimpi kau?” tanya Ehsan. “Kadang-kadang dalam mimpi. Kadang-kadang saya nampak betul,” Ajin berterus terang. Ehsan menelan liur. “Sejak Tam hilang, bayang-bayang hitam tu lebih kerap menunjukkan diri. Dia macam mahu membunuh saya,” kata Ajin. “Kadang-kadang dalam mimpi. Kadang-kadang saya nampak betul,” Ajin berterus terang. Ehsan menelan liur. “Sejak Tam hilang, bayang-bayang hitam tu lebih kerap menunjukkan diri. Dia macam mahu membunuh saya,” kata Ajin. \ \ \* Ajin dan abangnya, Aloy melarikan diri daripada ibu kandung serta ayah tiri mereka yang selalu mendera mereka. Sewaktu meninggalkan rumah ibunya, Ajin melihat kelibat bayang-bayang hitam. Sejak dari itu, makhluk itu sering menunjukkan diri di hadapan Ajin. Dan setiap kali ia muncul, pasti akan ada orang-orang yang rapat dengannya mati. Setelah beberapa tahun berlalu, Ajin hidup bergelandangan dan bersahabat dengan Tam. Suatu malam, bayang-bayang hitam itu muncul semula setelah sekian lama tidak menunjukkan diri. Dan dalam masa yang sama, Tam pula hilang. Ehsan, seorang pemuda yang baru dikenali cuba membantu Ajin. Namun siasatan Ehsan telah membongkar rahsia di sebalik kemunculan bayang-bayang hitam itu dan juga kejadian bunuh yang sering berlaku dalam kalangan orang-orang yang rapat dengan Ajin. Dalam masa yang sama, muncul Maimunah yang kematian anak lelakinya, Aril yang sebaya dengan Ajin. Maimunah memerlukan pertolongan Ehsan, yang melibatkan Ajin. Apakah rahsia di sebalik bayang-bayang hitam itu dan apakah agenda sebenar Maimunah?
Kru Paranormal book cover
#5

Kru Paranormal

Hantu Kilang Lama

2022

“Dulu, sekumpulan budak-budak muda dari KL datang sini cari kilang lama tu. Bila jumpa, mereka bermalam di kilang tu sebab nak rakam suasana tempat tu pada waktu malam. Tapi, katanya sampai sekarang mereka tak dijumpai. Hilang macam tu saja. Tak tahulah betul ke tidak cerita tu,” beritahu Pak Man. “Ah, konon cerita budak-budak tu datang ke kilang lama tu sebab nak berpesta pora, bercampur jantan betina tak ada batasan. Agaknya tercabarlah hantu puaka kilang tu bila dia tengok budak-budak tu perangai lebih puaka daripada dia,” ujar Pak Rok pula. \ \ \* Kru Paranormal menjejaki sebuah kilang lama di Jeram, Kuala Selangor, lokasi mistik yang sukar ditemui namun selalu disebut dalam kalangan peminat aktiviti paranormal. Rancangan awal mereka hanyalah untuk merakam persekitaran kilang itu, namun disebabkan kereta Zamir tiba-tiba mengalami masalah, mereka terkandas di tempat itu. Pada tengah malam, Imtiaz diganggu dua lembaga yang hampir hangus. Kemudian dia menjumpai bangunan asrama yang hampir runtuh kerana terbakar, yang menyimpan banyak misteri dan kisah tragis penghuninya. Dapatkah Kru Paranormal membongkar misteri kilang lama dan asrama yang terbakar itu? Apakah kaitannya tempat ini dengan pelbagai kes pembunuhan hilang kepala di Johor sebelum ini? Ada tragedi besar yang menimpa Kru Paranormal. Adakah mereka akan kembali sama seperti dahulu?
Kru Paranormal book cover
#6

Kru Paranormal

Hantu Jarang Gigi

2022

“Dari dulu lagi banyak orang cerita kononnya terserempak dengan makhluk berbulu lebat dan berbadan besar, berjalan-jalan di dalam hutan. Tapi setahu aku, tidaklah pula dia mengganggu orang. Kecuali ada juga khabar angin hantu gigi jarang ni menculik anak dara orang asli sebab dia berkenan dengan anak orang asli tu,” cerita Ridhuan. Ghazali terdiam. Dia tidak menyangka Malaysia juga mempunyai versi makhluk seperti bigfootnya yang tersendiri. Kalau di barat ia dikenali dengan pelbagai nama. Bigfoot, sasquatch, yeti, skunk ape dan pelbagai lagi nama. Namun di sini ia popular dengan nama hantu jarang gigi. \ \ \* Misteri kehilangan beberapa gadis remaja di daerah Bekok telah menimbulkan kegusaran penduduk tempatan. Malah, cerita yang mengaitkan kehilangan gadis-gadis remaja ini yang kononnya diculik oleh hantu jarang gigi telah menambahkan sensasi kes ini. Adam yang cacat pendengaran dan buta sebelah matanya baru sahaja berpindah ke Bekok mengikut ayahnya, seorang renjer hutan. Adam bersahabat dengan Shukor dan Amri. Kerana kes kehilangan gadis-gadis ini sedang panas, Shukor dan Amri merancang masuk ke dalam hutan Endau Rompin untuk mencuba nasib mencari mereka. Untung-untung mereka dapat wang ganjaran jikalau berjaya. Namun, sewaktu di dalam hutan, mereka menemui sesuatu yang tidak dijangka. Amri pula telah hilang dan Shukor cuba menebus rasa bersalahnya atas kehilangan Amri. Dalam pada itu, Adam sering melihat sesuatu yang menggerunkan berhampiran seorang pemuda yang tidak waras bernama Nazri yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Benarkah hantu jarang gigi ini wujud dan gadis-gadis ini diculik olehnya?
Kru Paranormal book cover
#7

Kru Paranormal

Upacara Helang Darah

2022

Imtiaz dapat merasakan yang Zamir menyalahkannya atas kematian Huda. “Aku cuba buat apa yang termampu. Pada masa tu Huda sudah dianggap suspek kes pembunuhan mak dan nenek kau, Zamir. Aku tak boleh buat apa-apa,” dia menjelaskan. Zamir menghampiri Imtiaz dengan riak jengkel dan berang membuatkan Imtiaz gementar. “Kalau aku ada, aku takkan benarkan semua ini berlaku!” tegasnya. Selepas berbulan-bulan dilaporkan hilang, Zamir muncul kembali setelah membongkar rahsia hitam keluarganya. Kini dia sudah mengerti semuanya. Apakah yang telah didedahkan arwah ayahnya dalam rakaman video yang diberikan Jagjit Singh sebelum KRU PARANORMAL mencari kilang lama di Jeram? Bagaimanakah hubungan Zamir dan Imtiaz setelah kematian Huda? Apakah masih ada lagi KRU PARANORMAL? Detektif Aris menjumpai satu mayat tergantung dalam keadaan mengerikan dalam sebuah banglo tinggal. Mangsa telah diseksa dengan kaedah seksaan bangsa Viking yang amat kejam. Siapa yang melakukannya dan kenapa? Lebih memeningkan, Koperal Darina yang menyiasat kes itu mendapati terdapat satu kes lama berusia 30 tahun di mana seorang wanita dibunuh dengan kaedah yang sama dan penjenayah yang melakukannya pula telah disahkan mati dalam kemalangan. Adakah pembunuhnya masih hidup atau ada generasi baharu yang menyambung legasinya?
Kru Paranormal book cover
#8

Kru Paranormal

Draugr

2023

“Masa aku kemalangan jalan raya di Sweden dulu, doktor telah mengisytiharkan aku mati. Tapi sejam kemudian doktor dapati aku bernafas kembali. Sejak dari itu kawan-kawan aku menggelar aku Draugr,” cerita Jai. “Draugr? Apa tu?” tanya Sardon. “Draugr ni hantu dalam budaya Skandinavia. Manusia yang hidup semula setelah mati. Lebih kurang macam zombi. Tapi Draugr ni kadang-kadang boleh berubah rupa. Kadang-kadang jadi kucing hitam, anjing hitam atau kambing hitam,” jelas Jai. \\ \ \ \* Setelah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkannya mati selama sejam, Jai sering bermimpi sebuah menara tangki air di tengah-tengah kawasan perumahan elit yang sedang dibangunkan. Dan dalam setiap mimpi itu, dia dapat mendengar bunyi ketukan besi penuh amarah dari puncak menara itu. Apabila tamat pengajiannya di Sweden dan kembali ke Malaysia, Jai menubuhkan kumpulan muzik metal yang dinamakan Al Jassasah. Sikapnya yang tidak mahu bekerja dan cuma mementingkan muzik membuatkan ibu dan ayahnya, Datuk Hisham dan Datin Norin pening kepala. Bagaimanapun, hidup Jai yang bebas tanpa kerunsingan mula berubah apabila Al Jassasah mula kehilangan ahli, dan Baphomet muncul di hadapannya… Polis menjumpai mayat-mayat yang telah dibunuh dengan kejam menggunakan kaedah seksaan kuno Viking dan semua siasatan menjurus ke arah Jai. Namun, apakah benar Jai Sjalsatare yang melakukannya? Apakah rahsia di sebalik mimpi Jai tentang menara tangki air itu? Dan sekali lagi Ehsan memainkan peranannya mencaturi hidup manusia. Apa sebenarnya matlamat yang mahu dicapainya?
Kru Paranormal book cover
#9

Kru Paranormal

Hantu Air

2023

“Wai Hung, kau perasan tak?” tanya Siu Lun dengan suara yang hampir berbisik. “Perasan apa?” “Kesemua mayat-mayat ini membengkak seolah-olah mereka dah beberapa hari mati,” beritahu Siu Lun. Wai Hung mula menyedari hal itu. Namun kesemua mereka baru hilang malam tadi. Aneh! \\ \* Siu Lun, seorang anggota Parti Komunis Malaya terpaksa kembali ke dalam hutan Ulu Kinta atas arahan komandernya, Tsui Ka Long, meninggalkan kehidupan mewahnya di bandar Ipoh. Dia sudah terlupa betapa getir dan payahnya kehidupan di dalam hutan. Sehinggakan ada masanya dia juga terlupa yang dia adalah anggota Parti Komunis Malaya. Markas lama mereka sudah tiada kerana diserang pasukan polis, dan markas baru telah dibangunkan berhampiran sebuah tasik. Namun tasik itu amat misteri kerana seorang perempuan berambut panjang sering kelihatan timbul di tengah-tengah tasik itu. Wai Hung, rakan Siu Lun percaya perempuan berambut panjang itu adalah May Li, anggota pasukan PKM yang ditembak oleh ahli pasukannya sendiri. Dan Wai Hung percaya roh May Li tidak tenang dan kini mahu menuntut bela. Keadaan menjadi lebih tegang apabila beberapa orang anggota PKM ditemui mati terapung di tasik tersebut. Dalam satu serang hendap, Wai Hung dan Siu Lun telah berjaya membunuh seorang anggota pasukan keselamatan. Namun sejak dari itu, tragedi sering menimpa markas mereka dan seorang demi seorang rakan-rakan mereka mati dibunuh. Siapa yang melakukannya? Apakah ada pengkhianat dalam kalangan mereka? Atau, adakah ia angkara perempuan dari dalam tasik itu? “Nang bo ti nang, kui bo ti kui.”
Kru Paranormal book cover
#10

Kru Paranormal

Keranda Terbang

2023

“Apa yang kau berdiri saja di depan pintu? Pergi masuk, tunggu jenazah, baca Yasin!” suruh Pak Samsul apabila melihat Shaari merenungnya dengan renungan sayu. “Tak boleh ke saya ikut Pak Sam?” tanya Shaari. “Kalau kau ikut aku, siapa yang nak jaga jenazah?” soal Pak Samsul. “Orang dah mati buat apa nak dijaga? Bukannya dia nak pergi pasar malam pun!” bidas Shaari. \ \ \* Mak Wok, seorang bidan kampung ditemui mati dalam keadaan mengerikan. Kepalanya hilang, dan gagal ditemui. Setahun kemudian, berlaku beberapa kematian misteri. Menurut saksi, sebelum mangsa-mangsa menemui maut, mereka telah melihat kemunculan keranda terbang. Ia dikaitkan dengan Mak Wok apabila Adam, seorang remaja bisu yang memiliki kemampuan deria keenam telah menemui pusara Mak Wok dalam keadaan terbongkar dan mayat Mak Wok pula hilang. Sementara itu, Ghazali, ayah angkat Adam berasa kurang senang dengan sikap Ehsan dan keluarganya yang sangat baik terhadap Adam. Dia merasakan ada sesuatu yang keluarga itu sembunyikan. Sebaliknya, Adam pula berasa senang dengan perhatian yang diberikan. \ \ \* “Kebencian itu realiti… kebencian itu realiti… tahukah kau mereka membenci kau?” ujarnya sebelum berundur sambil menjeling. Bersedia dengan kisah asal di sebalik lembaga berkepala kambing yang memakai sut!
Kru Paranormal book cover
#11

Kru Paranormal

Kolam Dewa

2023

Kau cerita yang kau bermimpi kolam tu minta dijamu. Mungkin apabila darah ular sawa yang kau tetak tu masuk ke dalam kolam, ia dianggap sebagai jamuan kepada kolam tu. Itu menjadikan tanaman penduduk kampung subur. Dah setahun berlalu, tanaman penduduk kampung kembali tak menjadi. Mungkin kolam tu perlu dijamu lagi?” ujar Muin. “Kau percayakan benda-benda macam tu? Syirik, Muin!” tegur Salleh. \ \ \ \ \* “Aku cuma katakan saja,” balas Muin sambil menggaru kepala. “Hish! Mengarut semua tu. Apa yang berlaku semuanya kehendak Tuhan. Tak ada kena-mengena dengan kolam tu!” tegas Salleh. Tahun 1863. Salleh, penghulu muda Kampung Sungai Cerah yang baru dibuka bingung apabila tanah kampung itu tidak lagi subur, tanaman tidak menjadi dan ternakan banyak yang mati. Lebih malang lagi apabila penduduk kampung terpaksa berhadapan dengan ancaman harimau liar. Salleh mengalami mimpi pelik, dua kanak-kanak mendakwa mereka adalah anak-anaknya yang telah meninggal suatu ketika dulu. Mereka menyatakan, jika Salleh mahu mengubah nasib Kampung Sungai Cerah, maka Salleh dan penduduk kampung harus menjamu sebuah kolam yang dipanggil Kolam Dewa. Apabila Salleh tidak mempedulikan mimpi itu, nasib Kampung Sungai Cerah menjadi lebih buruk. Sekumpulan penyamun menceroboh dan mengancam penduduk kampung. Salleh terus didatangi mimpi-mimpi aneh dua kanak-kanak itu yang menuntutnya menjamu Kolam Dewa atau semua penduduk kampung itu akan menerima malapetaka. Adakah Salleh akan akur pada tuntutan Kolam Dewa itu?
Kru Paranormal book cover
#12

Kru Paranormal

Jamuan Berdarah

2023

Berdasarkan sebuah cerita yang dimuat naik seorang blogger bernama Abang Syafiq dalam blog Aduka Puaka, Darina menyiasat kes kehilangan pengunjung sebuah pesta hip-hop yang diadakan di sebuah bangunan tinggal iaitu Wisma Suria yang dikatakan berpuaka. Siasatan itu membawa kepada penemuan berpuluh-puluh mayat yang tidak berkepala yang ditanam di tapak bangunan tersebut. Seorang lelaki bernama Howard Ho membuat pengakuan yang dia terlibat menguruskan syarikat-syarikat milik satu kumpulan pengamal ilmu hitam yang dikenali sebagai Kultus Ba. Salah satu syarikat itu, Dewa Suria Sdn. Bhd. dimiliki oleh seorang lelaki bernama Ehsan yang didakwa sebagai orang kuat dalam Kultus Ba. Malah, bangunan Wisma Suria juga dimiliki oleh Syarikat Dewa Suria. Ehsan mula menggerakkan buah catur terakhirnya. Apakah matlamat utama yang ingin dicapainya? Semua kematian yang melibatkannya, untuk apa? Berjayakah Koperal Darina dan Inspektor Rahil menyelesaikan misteri kes Kultus Ba ini? Bagaimana pula dengan nasib Imtiaz? Adakah dia akan selamat? Atau dia juga adalah sebahagian daripada buah catur Ehsan yang akan dikorbankan?

Author

548 Market St PMB 65688, San Francisco California 94104-5401 USA
© 2025 Paratext Inc. All rights reserved